Kuala Kangsar, Bandar Diraja di negeri Perak
terkenal dengan istana-istana yang mempunyai senibina yang unik dan
cantik. Salah sebuah istana itu ialah Istana Kenangan yang terletak
berhampiran dengan Istana Iskandariah di Bukit Chandan, Kuala Kangsar, Perak.
Kini Istana Kenangan telah berwajah baru setelah ia dijadikan Muzium Diraja
Kuala Kangsar. Upacara perasmian Muzium Diraja ini dilakukan oleh Paduka
Seri Sultan Azlan Muhibuddin Shah pada 16 November 1986.
Istana Kenangan yang dijadikan Muzium Diraja ini
telah dibina pada tahun 1926 oleh seorang tukang berbangsa Melayu dari Bukit
Mertajam bernama Encik Sopian dan dibantu oleh dua orang anak lelakinya
Zainal Abidin dan Ismail. Istana ini dibina atas perintah Almarhum Sultan
Iskandar sebagai tempat persemayaman sementara baginda, disebabkan pada waktu
itu Istana Iskandariah masih di dalam proses pembinaan. Sebelum ini,
baginda bersemayam di Istana Negara, tetapi istana itu telah dirobohkan kerana
tapaknya digunakan sebagai tapak Istana Iskandariah sekarang.
Pada asalnya istana ini dikenali sebagai
Istana Lembah, sesuai dengan kedudukannya di suatu kawasan tanah lembah dan ia
juga sering disebut sebagai Istana Kuning disebabkan kebanyakan bahagian istana
ini dicat dengan warna kuning. Nama Istana Kenangan hanya digunakan
bermula pada tahun 1960-an, iaitu setelah istana tersebut diperbaiki semula
dengan usaha YTM Tunku Abdul Rahman.
Istana yang telah dijadikan muzium ini pernah
mencatatkan peristiwa sejarahnya yang tersendiri. Istana ini pernah
menjadi tempat bersemayam Almarhum Sultan Iskandar dari tahun 1931 sehingga
tahun 1933 sebelum baginda berpindah ke Istana Iskandariah. Istana
Kenangan juga sering dijadikan Istana Tetamu terutama pada hari-hari perayaan
dan adat istiadat diraja seperti Hari Keputeraan dan lain-lain. Khusus
bagi kaum keluarga diraja, istana ini juga dikenali sebagai Istana Mayat
disebabkan ianya pernah digunakan sebagai persinggahan jenazah-jenazah keluarga
diraja untuk disempurnakan sebelum dimakamkan.
Pada tahun 1941, menjelang Perang Dunia Kedua,
Istana ini juga pernah diduduki oleh pelajar-pelajar dari Maktab Perguruan
Sultan Idris (MPSI). Ini kerana bangunan Maktab itu dijadikan Hospital
Tentera oleh Inggeris dan Almarhum Sultan Sir Abd. Aziz telah berkenan supaya
pelajar-pelajar MPSI berpindah sementara ke Istana Kenangan dan dua buah istana
lagi iatu Istana Hilir dan Istana Hulu. Bagaimanapun setelah tamatnya
Perang Dunia Kedua di Tanah Melayu, pelajar-pelajar itu diarahkan pulang ke
kampung masing-masing.
Dari segi bentuk seni binanya, Istana Kenangan
ini melambangkan seni bina Melayu tradisional yang mengkagumkan. Pembinaan
bangunan ini keseluruhannya menggunakan kayu jenis keras, berdindingkan tepas
dan beratapkan kayu papan. Paku-paku besi tidak digunakan dalam pembinaan
istana ini dan pada kebanyakan bahagian istana ini dihiasi dengan ukiran yang
melambangkan corak tradisional. Ini ditambah lagi dengan corak anyaman
dinding tepasnya yang berkelarai.
Bangunan Istana dua tingkat ini dibina di atas 60
batang tiang yang panjangnya lebih kurang 42 meter dan lebarnya 11 meter.
Bentuk bangunan ini agak unik jika dipandang dari bahagian atas bangunan iaitu
ia berupa sebilah pedang yang tersimpan di dalam sarungnya. Bentuk ini
amat bersesuaian sekali kerana pedang adalah salah satu dari alat-alat
kebesaran diraja Negeri Perak.
Balai Pameran yang terdapat di Istana atau Muzium
Diraja ini masih lagi memperlihatkan sedikit sebanyak bentuk asal bilik-bilik
istana, seperti bilik istirehat, tempat peraduan, balairong seri dan
singgahsana. Walau bagaimanapun alat-alat kebesaran Diraja tidak
dipamerkan di sini atas faktor keselamatan dan apa yang dipamerkan hanyalah
gambar-gambar alatan tersebut sahaja.
Sesuai dengan nama Istana
Kenangan, kini istana ini yang telah dijadikan Muzium Diraja benar-benar
memancarkan dan mengembalikan kenangan para pelawat muzium ini kepada kerajaan
dan tamadun Melayu yang asli. Ini dapat dilihat dari reka bentuk
bangunan, ukiran-ukiran yang indah serta pameran urutan sejarah Negeri Perak
semenjak Kerajaan Bruas lagi. Muzium Diraja ini bukan sahaja memaparkan
artifak-artifak sejarah dan kebudayaan tetapi juga siratan sejarah bangsa
Melayu dan keagungannya pada masa silam.
No comments:
Post a Comment