Monday, April 8, 2013

INFO WARISAN - Istana Seri Kenangan

Istana Seri Kenangan, Kuala Kangsar, Malaysia
 


Kuala Kangsar, Bandar Diraja di negeri Perak terkenal dengan istana-istana yang mempunyai senibina yang unik dan cantik.  Salah sebuah istana itu ialah Istana Kenangan yang terletak berhampiran dengan Istana Iskandariah di Bukit Chandan, Kuala Kangsar, Perak. Kini Istana Kenangan telah berwajah baru setelah ia dijadikan Muzium Diraja Kuala Kangsar.  Upacara perasmian Muzium Diraja ini dilakukan oleh Paduka Seri Sultan Azlan Muhibuddin Shah pada 16 November 1986.

Istana Kenangan yang dijadikan Muzium Diraja ini telah dibina pada tahun 1926 oleh seorang tukang berbangsa Melayu dari Bukit Mertajam bernama Encik Sopian dan dibantu oleh dua orang anak lelakinya  Zainal Abidin dan Ismail. Istana ini dibina atas perintah Almarhum Sultan Iskandar sebagai tempat persemayaman sementara baginda, disebabkan pada waktu itu Istana Iskandariah masih di dalam proses pembinaan.  Sebelum ini, baginda bersemayam di Istana Negara, tetapi istana itu telah dirobohkan kerana tapaknya digunakan sebagai tapak Istana Iskandariah sekarang.
 
Pada asalnya istana ini dikenali sebagai Istana Lembah, sesuai dengan kedudukannya di suatu kawasan tanah lembah dan ia juga sering disebut sebagai Istana Kuning disebabkan kebanyakan bahagian istana ini dicat dengan warna kuning.  Nama Istana Kenangan hanya digunakan bermula pada tahun 1960-an, iaitu setelah istana tersebut diperbaiki semula dengan usaha YTM Tunku Abdul Rahman.
Foto-Nr. cameron 2
Istana yang telah dijadikan muzium ini pernah mencatatkan peristiwa sejarahnya yang tersendiri.  Istana ini pernah menjadi tempat bersemayam Almarhum Sultan Iskandar dari tahun 1931 sehingga tahun 1933 sebelum baginda berpindah ke Istana Iskandariah.  Istana Kenangan juga sering dijadikan Istana Tetamu terutama pada hari-hari perayaan dan adat istiadat diraja seperti Hari Keputeraan dan lain-lain.  Khusus bagi kaum keluarga diraja, istana ini juga dikenali sebagai Istana Mayat disebabkan ianya pernah digunakan sebagai persinggahan jenazah-jenazah keluarga diraja untuk disempurnakan sebelum dimakamkan.

Pada tahun 1941, menjelang Perang Dunia Kedua, Istana ini juga pernah diduduki oleh pelajar-pelajar dari Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI).  Ini kerana bangunan Maktab itu dijadikan Hospital Tentera oleh Inggeris dan Almarhum Sultan Sir Abd. Aziz telah berkenan supaya pelajar-pelajar MPSI berpindah sementara ke Istana Kenangan dan dua buah istana lagi iatu Istana Hilir dan Istana Hulu.  Bagaimanapun setelah tamatnya Perang Dunia Kedua di Tanah Melayu, pelajar-pelajar itu diarahkan pulang ke kampung masing-masing.
 
Dari segi bentuk seni binanya, Istana Kenangan ini melambangkan seni bina Melayu tradisional yang mengkagumkan. Pembinaan bangunan ini keseluruhannya menggunakan kayu jenis keras, berdindingkan tepas dan beratapkan kayu papan.  Paku-paku besi tidak digunakan dalam pembinaan istana ini dan pada kebanyakan bahagian istana ini dihiasi dengan ukiran yang melambangkan corak tradisional.  Ini ditambah lagi dengan corak anyaman dinding tepasnya yang berkelarai.

Bangunan Istana dua tingkat ini dibina di atas 60 batang tiang yang panjangnya lebih kurang 42 meter dan lebarnya 11 meter.  Bentuk bangunan ini agak unik jika dipandang dari bahagian atas bangunan iaitu ia berupa sebilah pedang yang tersimpan di dalam sarungnya.  Bentuk ini amat bersesuaian sekali kerana pedang adalah salah satu dari alat-alat kebesaran diraja Negeri Perak.

Balai Pameran yang terdapat di Istana atau Muzium Diraja ini masih lagi memperlihatkan sedikit sebanyak bentuk asal bilik-bilik istana, seperti bilik istirehat, tempat peraduan, balairong seri dan singgahsana.  Walau bagaimanapun alat-alat kebesaran Diraja tidak dipamerkan di sini atas faktor keselamatan dan apa yang dipamerkan hanyalah gambar-gambar alatan tersebut sahaja.

Sesuai dengan nama Istana Kenangan, kini istana ini yang telah dijadikan Muzium Diraja benar-benar memancarkan dan mengembalikan kenangan para pelawat muzium ini kepada kerajaan dan tamadun Melayu yang asli.  Ini dapat dilihat dari reka bentuk bangunan, ukiran-ukiran yang indah serta pameran urutan sejarah Negeri Perak semenjak Kerajaan Bruas lagi.  Muzium Diraja ini bukan sahaja memaparkan artifak-artifak sejarah dan kebudayaan tetapi juga siratan sejarah bangsa Melayu dan keagungannya pada masa silam.